Pelarut

Oleh: Noor Hasani Hashim
          Dewan Kosmik
         01 Oktober 1995

Menghidu pelarut merupakan satu fenomena yang tidak selamat. Penyalahgunaan nitrous oksida, eter dan kloroform merupakan satu amalan yang digemari oleh orang dewasa pada abad ke-19. Semenjak 1971 hingga 1991, dilaporkan 1237 kematian disebabkan oleh penyalahgunaan pelarut di United Kingdom sahaja (Jadual).

Jadual jumlah kematian yang disebabkan oleh penyalahgunaan pelarut di United Kingdom (1971-1991)
 

Peringkat umur (tahun)JumlahPeratus (%)
9-14 214 17
15-19 692 56
20-24 180 15
25-34 85 7
35 ke atas 66 5
JUMLAH1237100


Di Malaysia, penyalahgunaan pelarut tidak banyak dilaporkan. Pada tahun 1990 hingga 1994 terdapat 63 kes yang dikesan. Walau bagaimanapun, perhatian serius diperlukan untuk mengawal atau mencegah gejala ini dari berlaku.

Pelarut adalah bahan yang boleh melarut benda-benda lain. Ia merupakan bahan persediaan terpenting, kegunaannya amat meluas di rumah dan dalam industri. Kebanyakan pelarut jenis organik yang mudah meruap, berada dalam keadaan gas pada suhu bilik dan apabila dihidu menyebabkan perubahan tahap kesedaran diri. Terdapat berbagai jenis bahan kimia komersial yang digunakan untuk mendapatkan kesannya. Walaupun secara amnya pelarut selamat digunakan untuk mencapai tujuan penggunaan sebenar namun sesetengah bahan kimia ini telah terbukti membahaya dan boleh mengakibatkan maut jika disalahgunakan. Barangan komersial ini mudah didapati dengan harga yang murah. Kegunaannya yang meluas menjadikan bahan ini sukar untuk diguatkuasakan pembelian dan penggunannya.

Berikut adalah beberapa jenis barangan yang mengandungi pelarut mudah meruap.
 

Jenis barangan Kandungan
Cecair pencuci trikloroetilena, toluena
karbon tetraklorida,
tetrakloroetilena
1,1,1-trikloroetilena
Gam atau perekat toluena, xilena, aseton
benzena, n-heksana
Petrol hidrokarbon
plumbum tetra etil
Aerosol (penyembur) fluorokarbon
Cecair pemetik api butana
Cat akrilik toluena
Cat, varnis, penipis `lacquer' trikloroetana, metilena klorida
toluena,alkohol,keton
Simen getah aseton, toluena, hidrokarbon
trikloroetina, heksana
Pewarna aseton, metilena klorida
Pencuci pengilat kuku aseton, amil asetat, alkohol

 

PENYALAHGUNAAN BAHAN PELARUT

Penyalahgunaan bahan pelarut berlaku sekiranya seseorang itu sengaja menghidu bahan kimia (organik) meruap untuk tujuan rekreasi. Definisi ini termasuklah menghidu wap pelarut organik (sama ada yang tulen atau kombinasi dengan bahan-bahan tidak meruap), dan campuran hidrokarbon seperti minyak petrol, dan propelan (bahan pencetusan) yang didapati dalam penyembur. Kebanyakan mereka yang menyalahgunakan pelarut ini terdiri daripada remaja lelaki yang menjalankan aktiviti secara berkumpulan. Ketagihan pelarut ini seterusnya mendorong sesetengah penghidu remaja menjadi penagih minuman beralkohol dan perubahan boleh berlaku dalam masa yang singkat.

Apabila sekumpulan penagih disoal tentang pengalaman subjektif mereka menghidu pelarut, ramai bersetuju kesannya menyerupai kanabis walaupun halusinasi nyata merupakan kesan tambahan yang diperolehi dari pelarut. Penyalahgunaan pelarut dapat dikesan jika sekumpulan remaja atau individu berkelakuan seolah-olah dalam keadaan mabuk. Rambut, mulut dan pakaian mereka mungkin berbau pelarut, dan biasanya terdapat kesan pada pakaian mereka. Tanda-tanda penyalahgunaan pelarut pada seseorang termasuk rasa lesu, tidak bersemangat, tiada selera, dan sentiasa meragam.

Menghidu gam

Gam atau bahan perekat biasanya mengandungi hidrokarbon meruap yang membahaya seperti benzena. Walaupun benzena kini telah digantikan dengan toluena dan hidrokarbon aromatik lain, ia tetap membahaya dan boleh membawa maut sekiranya dihidu. Kerosakan sistem saraf mungkin terjadi selepas menghidu untuk jangkamasa lebih kurang setahun dan kerosakan ini akan berterusan sehingga beberapa bulan walaupun tabiat ini dihentikan. Sebagai contoh, gam yang mengandungi n-heksana dan toluena telah dikaitkan dengan pengecutan dan lemah otot serta penjejasan sistem deria.

Penghidu gam mungkin juga akan mengalami tanda-tanda toksisiti ginjal termasuklah proteinuria, hematuria, asidosis tubular ginjal distal, dan kalkuli renal berulang. Penilaian yang dilakukan terhadap 25 orang dewasa yang menghidu toluena menunjukkan terdapatnya 3 corak utama iaitu:

  • lemah otot
  • aduan gangguan gastrousus
  • gangguan mental dan saraf

Selain daripada ini, gangguan zat galian seperti kalium, fosfat kerap diperhatikan.

Minyak Petrol

Minyak petrol adalah campuran hidrokarbon yang kompleks. Ia mengandungi banyak penambah bukan hidrokarbon seperti agen anti-ketuk, antioksidan, penahan karat dan pewarna. Toksisiti minyak petrol dikaitkan dengan komposisi campuran dan ini bergantung pula pada asal usul petroleum yang menjadi sumber minyak petrol serta pembentukan struktur yang berlaku dalam proses pencerniaan. Hidrokarbon tepu (daripada C4-C8) mempunyai ciri-ciri narkotik yang kuat dan boleh menyebabkan rasa mual, kesukaran bernafas, dan pengsan. Hidrokarbon tak tepu dalam campuran (seperti butilena dan isoprena) adalah agen bius yang ringan.

Penyalahgunaan minyak petrol berlaku apabila menghidu wapnya sebanyak 15 sehingga 20 kali. Keadaan ini sudah cukup untuk menyebabkan rasa mabuk selama tiga hingga enam jam. Oleh kerana komponen minyak petrol mudah larut dalam lemak, jadi penyerapan ke atas paru-paru akan mula kelihatan dalam masa tiga hingga lima minit sahaja.

Euforia atau rasa khayal yang dialami ketika intoksikasi ringan boleh diiringi dengan rasa mual dan muntah-muntah. Jika menghidu untuk jangkamasa yang panjang atau menghidu dengan cepat wap yang pekat, penghidu akan `ghairah mengganas' sehingga pengsan dan koma. Dalam keadaan pengsan, pesakit mungkin akan mengalami sawan, dan beberapa tanda gangguan pada mata iaitu anak mata mungkin tidak bergerak dan dalam keadaan dilatasi (mata terbeliak).

Walaupun jarang membawa maut tetapi kemungkinannya ada dan ini disebabkan disebabkan oleh penekanan pernafasan atau akibat kepekaan terhadap bahan aromatik minyak petrol. Edema (pembengkakan) otak dan paru-paru serta kerosakan ginjal dan hati telah dapat dikesan pada mayat yang dibedah siasat.

Bahaya yang paling membimbangkan adalah kesan jangka panjang akibat pendedahan kronik. Penyalahguna minyak petrol akan menghidu wap petrol setiap hari untuk bertahun-tahun lamanya. Sedutan jangka panjang boleh membuat penghidu tidak mempunyai selera makan dan penurunan berat badan, lemah otot/anggota dan kekejangan. Aktiviti sel otak yang abnormal juga dilaporkan di kalangan penghidu minyak petrol kronik. Selain daripada itu, mungkin juga berlakunya kerosakan saraf yang berkekalan.

Gangguan otak yang disebabkan oleh keracunan plumbum organik juga boleh dialami di kalangan penghidu minyak petrol. Ini disebabkan oleh plumbum tetraetil yang dimasukkan ke dalam minyak petrol sebagai agen antiketuk. Langkah kerajaan menggalakkan penggunaan petrol tanpa plumbum akan mengurangkan keracunan bahan tersebut.

Hidrokarbon Berklorin

Inhalis hidrokarbon berklorin seperti karbon tetraklorid dan trikloroetilena boleh memberikan kesan euforia dan kadangkala keghairahan yang diiringi dengan rasa sakit atau pening kepala, rasa mual dan muntah-muntah, koma dan sawan. Penyalahgunaan karbon tetraklorida boleh menyebabkan kegagalan buah pinggang mendadak dan kematian sel paru-paru (nekrosis hepar sentrilobular). Penyalahgunaan trikloroetilena pula dikaitkan dengan kerosakan pada saraf otak terutama saraf mata dan muka. Kedua-dua karbon tetraklorida dan tikloroetilena meningkatkan kepekaan jantung terhadap sejenis bahan kimia semulajadi katekolamina, dan akibatnya fungsi jantung terganggu.

Hidrokarbon Berflorin

Bahan pencetus (propelan) penyembur aerosol yang selalu digunakan adalah hidrokarbon berflorin (freon).Di antara hidrokarbon yang sering digunakan adalah florokarbon 11 (trikloromono florometana), florokarbon 12 (diklorotetrafloroetana) dan diklorotetrafloroetana. Kematian mengejut akibat menghidu propelan aerosol hidrokarbon pertama kali dilaporkan pada tahun 1968. Sejak itu, peratus kematian telah meningkat di kalangan remaja belasan tahun. Pada mulanya, kematian yang dikaitkan dengan menghidu aerosol adalah akibat lemas yang berpunca daripada beg plastik yang digunakan. Walau bagaimanapun, kajian yang dilakukan pada tahun 1970 menunjukkan kes-kes kematian mengejut akibat menghidu bahan tersebut boleh berlaku tanpa menggunakan beg plastik.

Bahan cecair pemetik api

Cecair pemetik api atau gas memasak mengandungi gas butana. Walaupun gas butana tidak beracun, tetapi apabila dihidu akan menggantikan oksigen dalam paru-paru lantas menyebabkan penghidu lemas. Penghidu juga akan mengalami gangguan pergerakan jantung sehingga membawa maut.

Pada tahun 1990, seorang budak lelaki ditemui pengsan di dalam bilik air panggung wayang. Bekas pengisi cecair pemetik api dan satu beg plastik didapati di tempat kejadian tersebut. Beberapa botol cecair juga ditemui di dalam poketnya. Bantuan kecemasan telah diberikan dan beliau dilaporkan mati sebaik sahaja tiba di hospital. Bedah siasat dilakukan dan tiada bukti penyakit atau kecederaan dikesan yang boleh menyebabkan kematiannya. Walau bagaimanapun, analisis toksikologi mengesahkan kehadiran butana di dalam darahnya.

Secara amnya pelarut ini adalah diperlukan dan selamat digunakan untuk tujuan yang baik dan betul. Namun sesetengah bahan kimia telah terbukti membahayakan dan mungkin boleh mengakibatkan maut apabila disalahgunakan. Memandangkan ianya agak mudah didapati, adalah dinasihatkan supaya pengguna lebih berhati-hati apabila menggunakan barangan yang mengandungi pelarut. Kecuaian boleh menyebabkan kemalangan.


Poisoning Emergency/ Information

Article from FB

Our Location

Last Modified: Thursday 10 October 2024.