Dr. Abu Bakar Abdul Majeed
Utusan Malaysia, 13 Januari 1996
AMARAN oleh Kerajaan Malaysia: Merokok boleh membahayakan kesihatan. Demikian amaran yang terdapat di kotak-kotak rokok yang dibenarkan penjualannya di Malaysia.
Di negara-negara sedang membangun seperti Malaysia, usaha-usaha mencegah perbuatan yang merosakkan kesihatan masih lagi belum dapat dijalankan dengan berkesan.
Di Australia, umpamanya, pada sepertiga bahagian hadapan kotak rokok tertera huruf-huruf besar: MEROKOK MEMBUNUH - Amaran Kesihatan Kerajaan. Malah perkataan-perkataan ini lebih besar daripada jenama rokok itu sendiri.
Pada bahagian belakang kotak rokok pula tertulis sekali lagi amaran tersebut, yang disusuli penerangan berikut: Di Australia, merokok menyebabkan lebih banyak penyakit dan kematian awal daripada penggunaan dadah-dadah lain. Merokok menyebabkan lebih empat kali ganda kematian daripada yang disebabkan kemalangan jalan raya.
Pada bahagian tepi kotak rokok juga dinyatakan: Asap dari setiap rokok mengandungi tar asap yang apabila termeluap mengandungi pelbagai bahan kimia, termasuk sesetengah yang menyebabkan barah; nikotin sejenis dadah beracun dan menyebabkan ketagihan; dan karbon monoksida sejenis gas yang mampu membunuh dengan mengurangkan keupayaan darah membawa oksigen.
Demikian, betapa terperinci usaha penyampaian maklumat yang diberikan kepada pengguna yang masih mahu memperjudikan kesihatannya. Penekanan terhadap kebebasan memberi maklumat yang amat berbeza ini menimbulkan satu persoalan yang membingungkan. Adakah nilai nyawa penduduk negara-negara membangun lebih murah daripada negara-negara maju.
Dewasa ini ramai yang bercakap tentang rokok atas dasar fakta. Ini yang terbaik. Tetapi tidak kurang pula yang cuba memutarbelitkan kenyataan dan masih ada yang meragui pendapat pakar-pakar perubatan tentang bahaya merokok.
"Negara juga yang rugi pendapatan lebih 100 juta setahun", ulas jurucakap industri tembakau. "Petani tembakau juga akan merana", bunyi pendapat lain.
Bukti kukuh
Betulkah belum ada bukti kukuh yang mengaitkan tabiat merokok dengan pelbagai jenis penyakit seperti barah paru-paru dan saluran pernafasan, sakit jantung, ulser perut dan bermacam-macam lagi?
Mungkin kita di Malaysia belum yakin tentang kebenaran ini. Tetapi di Amerika Syarikat, kongresnya telah pun menubuhkan Gedung Penjelasan Kebangsaan bagi 'Merokok dan Kesihatan' lebih 30 tahun lalu.
Pertubuhan ini dipertanggungjawabkan untuk menilai semua laporan ilmiah tentang kesan merokok terhadap kesihatan. Setiap laporan tahunan yang dikeluarkan menunjukkan bahawa merokok pasti membahayakan kesihatan.
Justeru itu, Kongres Amerika tiada pilihan lain dan terpaksa mengeluarkan perintah bahawa mulai 1 November 1970, setiap kotak rokok mesti mempunyai label amaran bahaya merokok.
Hari demi hari pelbagai laporan diterbitkan tentang bahaya merokok terhadap sistem-sistem tubuh. Bukan sekadar sistem jantung dan pernafasan yang sering tergugat, malah sistem pencernaan, sistem saraf, sistem penglihatan, sistem darah, sistem ginjal dan sistem pembiakan juga boleh terjejas.
Nikotin sememangnya bahan racun dan digunakan sebagai agen pembasmi makhluk perosak. Bayangkanlah apa yang mampu dilakukan oleh nikotin dalam tubuh manusia!
Ada teori yang mengatakan pendapatan negara meleset sebanyak 100 juta ringgit setahun jika rakyatnya tidak merokok.
Pendapatan ini mungkin datang dari hasil iklan dan pelbagai cukai yang dikenakan oleh kerajaan, contohnya cukai jualan dan cukai korporat keuntungan syarikat. Ini menguntungkan kerajaan. Bagaimana pula kerugian yang ditanggung? Contohnya, dalam tahun 1990 sahaja perokok Malaysia membakar lebih 1.7 bilion ringgit.
Jumlah ini merugikan negara sebab jika jumlah itu dilaburkan ke dalam Amanah Saham Bumiputra, bayangkanlah jumlah pulangan yang akan diperolehi.
Bagaimana pula dengan kos rawatan pesakit-pesakit yang menderita akibat merokok.
Semuanya ditanggung oleh pihak kerajaan, sama ada secara langsung atau tidak langsung. Penyebab maut nombor satu di Malaysia sekarang ialah sakit jantung.
Justeru itu kerajaan membelanjakan jutaan ringgit untuk membangunkan Institut Jantung Negara (IJN) dan pelbagai pusat kesihatan dan hospital lain di seluruh negara. Namun, kebanyakan katil di unit-unit rawatan jantung tidak mencukupi untuk menampung pesakit-pesakit jantung.
Sakit jantung yang disebabkan merokok adalah suatu jenis penyakit yang boleh dielakkan. Ramai juga pesakit jantung yang tidak diberi pilihan. Ini termasuk kanak-kanak kecil yang dilahirkan dengan jantung yang bermasalah.
Alangkah tidak adilnya jika perokok yang sememangnya memilih untuk menderita sakit jantung terpaksa menggunakan katil-katil yang diperlukan oleh mereka yang tiada pilihan sakit jantung? Itu soalan etika, yang pening tentunya pakar perubatan. Itu pun belum menyentuh pelbagai penyakit lain.
Tempoh penderitaan seseorang pesakit agak lama. Ubat-ubatan yang diperlukan mahal sekali. Kos rawatan dan penjagaan memang besar.
Memerlukan
Tidak hairanlah Kementerian Kesihatan sentiasa memerlukan peruntukan kewangan yang besar setiap tahun.
Bagaimana pula rakyat Malaysia yang mati dalam usia yang masih muda? Tidakkah ini merugikan negara? Produktiviti individu sukar dinilai tetapi negara memang kekurangan pekerja. Ini dikira kos habis. Bagaimana dengan nasib anak-anak perokok yang ditinggalkan?
Namun yang pasti, masalah rokok bukan masalah fakta atau falasi, bukan juga masalah halal atau haram, tetapi sebenarnya percaturan untung rugi kewangan.
Semoga di tahun baru ini lebih ramai yang mengambil iktibar dari rencana ini dan bertekad untuk berhenti merokok. Kepada yang telah berusaha sejak awal tahun, diucapkan SELAMAT BERHENTI MEROKOK.