Tragedi Hiroshima - Bola Api Dari Neraka

Sumber: Warta Perdana, 26 November 1989
   Oleh: -

Haji Abdul Razak adalah salah seorang rakyat Malaysia yang menyaksikan sendiri tragedi pengeboman Hiroshima pada tahun 1945. Bagaimanapun beliau adalah satu-satunya yang disahkan terselamat dari bahan radiasi yang meragut ratusan ribu nyawa itu.
Bersama Nik Yusuf dari Kelantan dan Syed Omar dari Johor, mereka adalah pelajar jurusan pendidikan yang menerima biasiswa dari Kerajaan Jepun. Nik Yusuf dan Syed Omar terkorban bersama 2,000 pelajar yang lain, Haji Abdul Razak adalah antara beberapa orang yang terselamat dari kecelakaan itu, sehingga ramai orang Jepun hari ini yang menganggap beliau sebagai luar biasa.

Dalam suasana ketenangan itu, seorang anak muda dalam lingkungan usia 19 tahun dengan perawakan yang sedikit berbeza dari penghuni Hiroshima, melangkah gagah menuju ke sebuah bangunan muzik Universiti Bundri Daigaku untuk mengikuti kuliah matematik. 

Anak muda itu, Abdul Razak bin Abdul Hamid adalah di antara mahasiswa Universiti Hiroshima yang mengambil kursus Sarjana Muda Pendidikan. Abdul Razak adalah anak rantau yang sanggup meninggalkan keluarga dan tanahair demi membina ilmu di negara matahari terbit itu. 

Sebagaimana biasa, pada pagi 6 Ogos 1945, Abdul Razak dan rakan sekelasnya, termasuk Pengiran Yusof dari Brunei, sedang mengikuti pelajaran matematik yang diajar oleh Profesor Toda.

Tiba-tiba kedengaran bunyi semboyan menandakan kapal terbang musuh berada di angkasa. Sepertimana lazimnya, Abdul Razak, rakan-rakan dan pensyarahnya segera berlari memasuki lubang perlindungan. 

Apabila semboyan yang menandakan kapal terbang musuh telah beredar keluar, mereka bergegas semula ke kelas untuk menyambung pelajaran yang terhenti itu. 

Jam 8.15 pagi pelajaran pun bermula. Namun begitu, mata anak muda ini tiba-tiba menangkap sejalur cahaya seperti kilat melintas di luar tingkap diikuti dengan bunyi seperti halilintar membelah bumi. Abdul Razak yang berada dalam keadaan terpinga-pinga itu, walau bagaimanapun sempat menjerit kepada rakannya, "Sop, kilat!." 

Abdul Razak tidak menyedari selama mana dia berada di dalam kegelapan runtuhan bangunan kayu yang telah ranap akibat gegaran bom. Dengan kekuatan yang bersisa, dia cuba memanggil nama sahabatnya dan Profesor Toda.

Seperti mendapat keajaiban, sekali lagi matanya sempat menangkap cahaya kecil sebagai penunjuk jalan ke arah luar. Dari dalam dunia yang gelap gelita, dia merangkak mengikut arah cahaya itu dan akhirnya berjaya sampai ke luar. 

Baju dan tubuh Abdul Razak penuh dengan simbahan darah. Abdul Razak menyedari ada luka di kepalanya, barangkali terkena hentakan kayu yang telah runtuh itu. 

Apa yang disaksikannya menyebabkan Abdul Razak terpaku bagaikan tidak mempercayai kejelasan pandangan matanya. Tuhan sahaja yang tahu gelombang perasaan Abdul Razak apabila melihat keadaan sekitarnya. 

Bumi Hiroshima bagaikan padang jarak padang tekukur! Segala-galanya kelihatan rata tanpa bangunan tinggi atau pokok-pokok yang tadinya kelihatan melambai tenang. 

Pengiran Yusof dan Profesor Toda yang telah berjaya keluar dari timbunan runtuhan itu juga kelihatan terperanjat dengan gambaran yang penuh luka itu. Namun, Profesor Toda dengan cepat bingkas bangun dari keharuan perasaan, lalu menyuruh Abdul Razak dan Pengiran Yusof balik ke asrama kawan-kawan yang tidak ada kuliah pada pagi itu. 

Dua orang anak muda yang terselamat dari maut itu pada mulanya kehilangan pedoman untuk mencari jalan pulang ke asrama. Timbunan-timbunan runtuhan menyelimuti jalan menyebabkan mereka kebingungan. 

Sepanjang jalan untuk mencari asrama itu, mereka melihat pemandangan yang benar-benar menghiris perasaan. Mereka melihat manusia yang tersepit dihempap bangunan, bergelimpangan mati dengan darah memerah di sana sini. Ada yang berlari ke hulu dan ke hilir menjerit-jerit tak karuan dan ada pula mayat yang terlerai daging dari tulangnya. 

Sekitar ruang Hiroshima dipenuhi dengan raungan dan jeritan manusia yang berada di ambang maut. Keadaan itu menyebabkan Abdul Razak terkenang pada Hari Pembalasan di akhir zaman nanti. "Tentu suasananya lebih hebat dari ini," desis hati kecil Abdul Razak. 

Akhirnya Abdul Razak dan Pengiran Yusof tiba ke satu kawasan yang pada mulanya disangkakan asrama. Mereka lalu memanggil ibu penjaga asrama. 

"Obasan! Obasan! mereka melaungkan nama ibu asrama itu dengan panggilan yang biasa (nama sebenarnya ialah Takahashi-san). Kedengaran sahutan "hai" jauh di bawah timbunan runtuhan, sebagai menandakan ada tindak balas terhadap panggilan mereka itu. 

Abdul Razak dan rakannya itu tidak membuang masa, lalu terus menggali lubang untuk menariknya keluar. Rupa-rupanya ia bukanlah ibu asrama tetapi seorang setiausaha sebuah syarikat yang bersebelahan dengan asrama. Mereka menarik Cik Sumida, setiausaha tersebut yang telah cedera parah di bahagian mata. Mata beliau penuh dengan darah akibat pecahan cermin mata yang dipakainya. 

Walau bagaimanapun, mereka sudah dapat mengagak kedudukan asrama yang sebenarnya. Tidak berapa lama kemudian, mereka terdengan suara teriakan salah seorang kawan yang berasal dari Kelantan, Nik Yusof Nik Ali yang mengatakan bahawa dia sihat dan meminta Abdul Razak dan Pengiran Yusof segera ke asrama untuk membantu rakan-rakan mereka yang lain. 

Nik Yusof dan warden asrama, Encik Nagahara kelihatan berlari menuju ke bandar, barangkali untuk mencari bantuan. Rupa-rupanya itulah kali terakhir, Abdul Razak dapat melihat sahabat karibnya yang sama-sama meninggalkan tanahair demi mencari ilmu pengetahuan. 

Mereka menyaksikan berbagai ragam peristiwa yang menyayukan. Ada rakan-rakan mereka dari Sumatera yang telah tanggal rambutnya malahan rambut dengan mudah boleh dicabut dari kepala. Ada juga yang kulitnya melecur dan tanggal dari tulang. Malahan ada juga yang memakai baju, corak kain dari baju itu melekat pada kulit mereka. Ramai juga yang telah rentung menjadi arang. 

Mereka dapat mencari ibu penjaga asrama, yang terperangkap di dalam runtuhan. Walau bagaimanapun, beliau masih boleh berjalan ke sana sini di bawah runtuhan itu. Kemungkinan kayu-kayu yang runtuh bersilang-silang sehingga mewujudkan ruang yang selamat untuknya. 

Walau bagaimanapun, ibu penjaga asrama asyik meminta mereka mencari dan menyelamatkan anaknya. 

"Aku sihat. Pergi cari kakak engkau!" ulangnya beberapa kali. Melihatkan keadaannya itu, lalu mereka pun segera bergegas meninggalkan ibu asrama untuk mencari anak perempuannya. 

Ketika mereka sibuk menolong menyelamatkan rakan-rakan dan orang-orang Jepun itu, di sebarang Sungai Motoyasu yang berhadapan dengan tempat terletaknya Konanryo, iaitu asrama mereka, api kelihatan mula menjilat rumah-rumah dengan lahapnya. 

Angin yang kencang turu membantu api lebih semarak. Kemungkinan api itu atangnya dari dapur-dapur yang digunakan untuk memasak pada waktu pagi. Rumah- rumah yang diperbuat daripada kayu pada masa itu memudahkan api menggila. 

Diseberang sungai, api sudah mula berpusar-pusar membentuk puting beliung, menyambar apa sahaja yang berada di hadapannya. Orang-orang Jepun yang masih hidup segera berlari mencari perlindungan di dalam lubang paip air dan juga berderetan berbaris di sepanjang tebing sungai. 

Namun, pusaran api itu terus mara membakar bangunan dan pohon-pohon lalu terus menyambar satu demi satu mangsa-mangsanya yang sedang berderetan di sepanjang tebing sungai itu. Jeritan kembali bergema dan satu demi satu tumbang ke dalam air, lalu di bawa arus entah ke mana haluannya. 


Poisoning Emergency/ Information

Article from FB

Our Location

Last Modified: Thursday 10 October 2024.