Timbunan Mayat Jadi Teman

Sumber: Warta Perdana, 2 December 1989
  
Oleh: -

Dalam diam-diam, Abdul Razak mengakui kata-kata hikmat; api sewaktu kecil menjadi kawan, bila besar menjadi lawan. Api yang bergulung-gulung itu melintasi Jambatan Takanobashi lalu memamah segala apa yang berada di hadapannya. Jika jambatan yang menghubungkan tebing sungai itu tidak ada, kemungkinan besar, api tidak akan ke tebing di sebelah lagi.

Abdul Razak merasai nyawanya bagaikan embun di hujung rumput, bila-bila masa saja akan diragut oleh api yang sedang marak itu. Dia tidak dapat membayangkan bagaimana tubuhnya dan tubuh rakan-rakannya dimamah api, lalu menjadi abu. Seketika itu juga melintas bayangan ibu bapa, keluarga dan tanah air yang ditinggalkan.

Walaubagaimanapun, usia Abdul Razak panjang. Di dalam kebingungan itu, Allah s.w.t. melorongkan matanya untuk melihat sebuah rakit yang tertambat di sungai. Tanpa berlengah lagi, Abdul Razak dan orang-orang yang hidup itu memikul orang-orang yang yang cedera untuk dibawa ke rakit.

Biarpun begitu masih ada seguris rasa terkilan di hati anak muda itu. Ibu asrama yang lebih mesra dipanggil Obasan tidak sempat diselamatkan. Masih terbayang di mata Abdul Razak, Obasan yang kelihatan sihat di bawah runtuhan itu.

Dia berjalan ke sana kemari di bawah runtuhan berbentuk gua itu sambil tidak berhenti-henti menyuruh mereka mencari dan menyelamatkan anak perempuannya. Timbunan runtuhan yang berat itu tidak mampu diangkat oleh mereka yang seharian bertungkus-lumus menyelamatkan nyawa manusia.

Oleh kerana api semakin marak, Abdul Razak dengan rasa terharu meninggalkan Obasan tanpa memberitahunya mengenai ribut api yang sedang mara ke arahnya itu. Akhirnya Obasan mati hidup-hidup dijilat api.

Gumpalan api itu kemudiannya menyambar Abdul Razak dan rakan-rakan yang ada di atas rakit. Mereka lalu terjun ke dalam sungai dan bergantung pada rakit. Sesekali mereka menyelam dan timbul semula untuk mengambil nafas. Orang-orang Jepun yang cedera, semua telah hanyut di bawa arus sungai.

Apabila api mara semakin jauh ke hadapan, barulah mereka naik ke darat. Waktu itu, jam menunjukkan angka 4.00 petang. Abdul Razak dan rakan-rakannya yang masih hidup termasuk Cik Sumida, bermalam di atas Jambatan Yorozuyo yang berhampiran dengan runtuhan asrama.

Rakan Abdul Razak, Pengiran Yusof segera berusaha mencari makanan. Perut masing-masing sudah mula berkeroncong minta diisi. Apabila Pengiran Yusof pergi ke universiti, beliau berjaya mendapatkan bekalan beras yang diberi oleh orang- orang di situ.

Beras itu telah bercampur dengan kaca daripada pecahan tingkap. Abdul Razak dan rakan-rakannya terpaksa pula memilih beras itu sebelum memasaknya.

Mereka mula mencari-cari barang untuk dijadikan lauk. Seekor ayam yang entah datang dari mana melintas di dalam timbunan runtuhan. Malangnya, mereka tidak mempunyai pisau untuk menyembelihnya.

Abdul Razak dan rakan-rakannya terpaksa menggunakan paku untuk menyembelih ayam tersebut. Namun begitu, ayam tersebut masih liat nyawanya, lalu mereka menambatnya berhampiran dengan tempat tidur mereka.

Ketika itu kedengaran manusia yang meminta air. "Mizu kudasai, mizu kudasai!" Di dalam saat-saat menghadapi maut itu, setitik air amat mahal harganya. Abdul Razak dan rakan-rakannya bergegas ke sungai dan memberi mereka minum supaya kehausan segera terhindar. Namun demikian, air yang disangkakan penyelamat telah menjadi pembunuh yang kejam. Sebaik sahaja mereka meminumnya, maut pun menjemput.

Pada mulanya Abdul Razak dan rakan-rakannya berpendapat bahawa air sungai tersebut mengandungi kuman akibat daripada mayat-mayat yang bergelimpangan itu. Oleh yang demikian, mereka memasak air tersebut di dan menyejukkannya sebelum memberi minum orang-orang Jepun yang tercedera itu.

Malang tetap menyapa. Setelah meminumnya, mereka turut menemui ajal. Setelah melihat kejadian itu, Abdul Razak dan rakan-rakannya enggan memberikan air tersebut kepada orang-orang yang memintanya. Kehausan yang menggigit kerongkong menyebabkan mereka lebih rela mati daripada menanggung azab seksa, lalu tanpa jemu-jemu mereka memujuk Abdul Razak dan rakan-rakannya supaya memberikan air itu kepada mereka.

Rasa kemanusiaan Abdul Razak dan rakan-rakannya berbelah bahagi, bagaikan ditelan mati emak, diluah mati bapa. Akhirnya Abdul Razak mengambil keputusan untuk tidak memberikan air tersebut kerana dia tidak sanggup melihat kematian yang berlaku di hadapan matanya akibat air yang diberikan oleh tangannya.

Bagi Abdul Razak dan rakan-rakannya, mereka tidak mahu menjadi pembunuh kedua. Biarlah orang-orang yang tercedera itu mati akibat kekejaman manusia lain tetapi bukan oleh air yang diketahui boleh membunuh itu yang diberi oleh mereka.

Rupa-rupanya hasil daripada penyelidikan yang dijalankan, orang-orang yang terkena bahan radioaktif itu berasa terlalu panas atau dahaga dan air serta bahan-bahan yang menjadi makanan dan minuman mereka itu turut terkena bahan radioaktif.

Pada pukul sepuluh malam, Abdul Razak dan rakan-rakannya yang terselamat mendapat bantuan daripada Pasukan Palang Merah. Malam yang penuh duka itu semakin sibuk dengan ibu bapa bertempiaran mencari anak-anaknya.

Rupa-rupanya pada ketika itu, anak-anak perempuan, atau lebih tepat, pelajar- pelajar perempuan dikerah supaya melakukan kerja-kerja membersihkan jalan dan bangunan di merata negeri Jepun. Ibu bapa pelajar-pelajar perempuan inilah yang kelihatan sibuk berkeliaran mencari anak-anak mereka yang sebahagiannya sudah menjadi rentung atau hancur wajah dan tubuhnya.

Hati Abdul Razak begitu sedih apabila melihat suasana itu. Ibu bapa dari luar Hiroshima itu sentiasa dibayangi harapan bahawa anak mereka akan selamat, walaupun bayangan tersebut hanya sia-sia. Kasih sayang ibu amat bernilai dan ibu-ibu ini terus berusaha menyelongkar timbunan runtuhan dengan tangisan dan raungan yang menyayat hati.

Keesokkan harinya, apabila Abdul Razak bangun dari tidur, sekali lagi dia didatangi perasaan sedih. Orang-orang Jepun yang turut menumpang tidur bersama mereka semuanya sudah kaku. Hanya pelajar-pelajar asing sahaja yang selamat. Salah seorang rakan beliau, Syed Omar Al-Saggoff, [SIC] ipar kepada Profesor Diraja Ungku Aziz, juga terselamat. Ayam yang tertambat pula mati.


Poisoning Emergency/ Information

Article from FB

Our Location

Last Modified: Thursday 10 October 2024.