Oleh: Wan Zainal Azman Wan Abdullah
Dewan Kosmik
Ogos 2002
AMALAN meminum minuman keras atau minuman beralkohol merupakan suatu tabiat buruk terutama sekali pada remaja kita masa kini. Masalah ini sama seriusnya dengan masalah-masalah sosial lain yang melanda negara kita. Malah masalah ini kian hari kian meruncing. Negara kita memerlukan generasi remaja yang sihat dan kuat untuk meneruskan cabaran pembangunan negara masa hadapan. Kita tidak mahu lihat remaja kita lemah dan khayal dalam dunia mereka sendiri.
Larangan agama sememangnya berasas. Malah, setiap agama di dunia ini turut melarang tabiat tersebut di kalangan para penganutnya. Selain memabukkan alkohol juga memudaratkan kesihatan diri sekiranya diamalkan berterusan. Minuman beralkohol umpama kombinasi dadah dan racun kepada badan kita.
Namun, memang ada sedikit manfaat alkohol seperti kegunaannya sebagai agen pembunuh kuman, penawar untuk keracunan metanol, atau agen penyejuk bagi melegakan demam panas. Namun begitu, memang tidak dapat disangkal bahawa keburukan daripada kesan meminum alkohol jauh mengatasi kebaikannya.
Alkohol yang digunakan untuk minuman dibuat melalui proses penapaian atau penyulingan buah-buahan, sayur-sayuran atau bijirin. Antara bahan yang paling biasa digunakan ialah anggur, epal, beri dan pelbagai jenis bijirin dan sayuran. Daripada bahan-bahan inilah dihasilkan minuman seperti wiski, wain, bir, vodka, samsu dan lain-lain lagi.
Jumlah peratusan alkohol di dalam sesuatu minuman tersebut adalah berbeza-beza dan perlu diberi perhatian. Misalnya di Malaysia, bir disulingkan sehingga mengandungi empat hingga lima peratus alkohol, stout lapan peratus, wain 10% hingga 14%, manakala wiski, vodka atau brandi pula mengandungi 40% alkohol.
Kesan ketagihan akibat meminum alkohol bukannya bergantung kepada jenis alkohol tetapi jumlah yang diminum pada satu-satu masa. Pada dasarnya terdapat dua kesan yang ketara pada penagih alkohol iaitu kesan jangka pendek dan jangka panjang.
Kesan jangka pendek yang membabitkan pengambilan lebih kurang satu botol besar menjadikan seseorang itu kurang daya koordinasi seperti tidak boleh berjalan dengan betul dan tidak boleh membuka pintu. Dalam masa yang singkat ini boleh menyebabkan hangover. Hangover lazimnya disebabkan oleh keracunan alkohol, bahan lain dalam alkohol dan tindakbalas ketagih alkohol. Tanda-tanda hangover alkohol termasuklah sakit kepala, loya, muntah, cirit birit, gangguan pergerakan usus dan menggeletar selama lapan hingga 12 jam kemudian.
Kesan jangka panjang akan dirasai selepas meminumnya selama beberapa bulan atau tahun. Kesan utama pula seperti sakit jantung, hati atau penyakit dalam perut. Apabila situasi ini berlaku mereka akan kurang selera makan, kekurangan vitamin, jangkitan penyakit, mati pucuk atau kekurangan haid. Kematian yang awal adalah lebih kerap pada orang yang kuat minum, terutamanya daripada sakit jantung atau hati, radang paru-paru, kanser, keracunan alkohol yang teruk, kemalangan, pembunuhan dan pembunuhan diri.
Kesan pada otak
Pada asasnya selepas diminum, alkohol akan meresap dari usus kecil ke dalam darah. Alkohol terus dibawa ke jantung yang kemudiannya mengepam darah beralkohol tadi ke seluruh tubuh. Dari sini ia terus meresap ke dalam otak dan seterusnya ke urat saraf. Otak merupakan salah satu organ penting yang dimiliki oleh manusia kerana otaklah yang mengawal segala pergerakan dan perlakuan seseorang. Dengan kemasukan bahan asing ini ke dalamnya pergerakan dan kelakuan si peminum akan dipengaruhi secara langsung. Inilah yang membuatkan kebanyakan kaki botol bertindak di luar batas kemanusiaan. Mereka sudah tidak lagi dapat berfikir dengan betul.
Pengambilan minuman beralkohol secara berterusan boleh membuatkan hilang kewarasan fikiran
Di dalam otak alkohol akan menyebabkan penindasan kawasan-kawasan yang biasanya mengawal maruah dan disiplin diri sehingga peminum mula merasa kurang sifat malu, fikiran bercelaru, dan pergerakannya pula agak tidak terkawal.
Peminum juga kurang keupayaan dari segi belajar, membentuk idea spontan, menumpukan fikiran, dan membuat pertimbangan yang teliti. Semakin banyak jumlah alkohol yang diminum semakin kuat otak tertindas sehinggakan boleh menyebabkan tidak sedarkan diri dan seterusnya kematian.
Kesan pada hati
Kesan alkohol yang paling bahaya adalah kesan pada hati. Setiap kali seorang peminum mengambil alkohol, hatinya mendapat luka. Sel hati akan mati dan menjadi parut. Parut ini akan mengurangkan kemampuan hati untuk berfungsi dengan sempurna. Parut yang serius akan menyebabkan hati tidak dapat berfungsi langsung. Keadaan ini disebut sirosis hati dan boleh membawa maut.
Bengkak hati (hepatitis) juga boleh berlaku disebabkan oleh lebihan toksik alkohol. Pada mulanya ia menyebabkan hati mengembang dan lama kelamaan saluran darah akan mengecut. Ini menyebabkan darah tidak dapat mengalir ke hati dengan sempurna dan akhirnya saluran darah akan membengkak lalu pecah. Pada peringkat kritikal, penghidap hepatitis akan mengalami muntah darah dan najis mereka akan bercampur dengan darah.
Kesan pada perut
Alkohol juga menyebabkan kerengsaan perut (gastritis) yang akhirnya boleh membawa kepada ulser. Bagi mereka yang memang menghidapi ulser perut, sakitnya akan menjadi semaking teruk.
Kesan pada saraf
Kerosakan saraf boleh menyebabkan pelbagai jenis penyakit seperti sindrom Wernicke-Korsakoff dan kerosakan sel-sel otak, yang seterusnya membawa kepada komplikasi psikiatri. Peminum boleh mengalami halusinasi pendengaran, amnesia, paranoia, depresi, dan kecenderungan membunuh diri.
Kesan pada janin
Peminum alkohol kronik yang sedang hamil boleh menyebabkan kandungannya mempunyai ciri-ciri kecacatan seperti kekurangan berat badan, saiz kepala yang terlalu kecil berbanding tubuh, kurang penyelarasan otot, keadaan muka yang rata, dan kelemahan sendi-sendi.
Selain daripada kesan-kesan di atas, alkohol juga bertindak dengan pelbagai sistem dan organ tubuh. Contohnya, kesan terhadap sistem peredaran tubuh menyebabkan darah lebih banyak dialirkan ke kulit. Ini menyebabkan kulit peminum menjadi kemerah-merahan dan perpeluhan meningkat. Pengepaman jantung juga bertambah pantas dan kuat seperti individu yang sedang melakukan senaman. Kepada penghidap penyakit jantung, mereka mempunyai kemungkinan diserang penyakit itu.
Peminum alkohol juga didapati lebih cenderung membuang air kecil dengan kerap kerana etanol boleh merencat hormon penahan kencing.
Peminum alkohol juga mungkin mengalami anemia, hipoglisemia (kekurangan gula di dalam darah), dan ketandusan vitamin.
Bagi perokok yang meminum alkohol boleh meningkatkan risiko kanser sebanyak 15 kali terutamanya pada bahagian mulut dan tekak.
Selain daripada kesan ke atas kesihatan ia boleh juga menimbulkan pelbagai masalah sosial. Masalah ketagihan alkohol boleh merosakkan hubungan persahabatan, kehilangan pekerjaan, hutang, simpanan keluarga dihabiskan, masalah rumah tangga, penganiayaan, penderaan, keruntuhan moral dan sebagainya.
Kajian menunjukkan seramai 1400 pelajar kolej di Amerika Syarikat terbunuh pada setiap tahun berikutan pengambilan alkohol yang berlebihan. Di antara penyebab kematian adalah kemalangan motosikal dan kereta merupakan kes yang paling kerap berlaku. Selain itu, laporan statistik berkenaan juga mendapati kematian akibat alkohol turut melibatkan kemalangan akibat terjatuh dan mati lemas.
Situasi tersebut secara tidak langsung menggambarkan pengambilan alkohol di kalangan pelajar di Amerika Syarikat khususnya remaja yang merupakan satu budaya yang sukar dihakis. Sudah tentu kita tidak mahu lihat remaja di negara kita mengalami nasib yang sama. Masa depan negara terletak di tangan mereka.